Tuesday, December 22, 2009

Pemuda BN Sepakat Hentikan Perdebatan Isu Pengerusi BN Pulau Pinang

Pulau Pinang -- Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sebulat suara membuat keputusan untuk menghentikan perdebatan berkenaan isu jawatan Pengerusi BN negeri.
Bendahari Pemuda UMNO negeri, Aziaan Ariffin berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara komponen Pemuda BN di sini, Selasa.
Jelasnya isu isu jawatan Pengerusi BN negeri yang hangat diperdebatkan di antara pemimpin parti komponen perlu dihentikan serta merta.
"Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas perbincangan hampir dua jam di antara pemimpin pemuda BN.
"Perjumpaan itu dibuat bagi mencari satu jalan penyelesaian berhubung beberapa perkara berbangkit yang berlaku dalam BN negeri.
"Kami setuju dengan nasihat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya isu Pengerusi BN dihentikan kerana pertelingkahan terbuka tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada negara dan rakyat", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Pertemuan Pemuda BN itu disertai Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong, Ketua Pemuda PPP negeri M Manikumar dan Ketua Pemuda MIC negeri, J.Dhinagaran.
Aziaan yang juga Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau seterusnya berkata selepas ini apa jua yang berlaku atau sebarang masalah berbangkit yang timbul antara parti komponen BN negeri akan dibincangkan serta diselesaikan secara dalaman.
"Kami sebulat suara bersetuju untuk tidak lagi berdebat mengenai isu Pengerusi BN negeri serta isu-isu lain secara terbuka," ujarnya.

Monday, December 21, 2009

Elak debat isu Pengerusi BN P. Pinang

utusan:


PUTRAJAYA 21 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sebarang perdebatan mengenai siapa yang layak menerajui Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dihentikan.
Perdana Menteri menegaskan, isu itu seharusnya tidak berlanjutan.
"Jangan debat lagi tentang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia Keenam di sini hari ini.
Jumaat lalu, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang meminta jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan berkenaan dengan alasan jawatan itu disandang oleh pemimpin Gerakan selama 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Tuntutan UMNO Pulau Pinang akan dirunding dengan semua pihak - Najib

SHAH ALAM 20 Dis. - Permintaan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu, akan dirundingkan dengan semua pihak.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN.
''Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak.
''Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen BN lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Cadangan itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
Ditanya mengenai reaksi Tsu Koon itu, Najib berkata ringkas:''Tak apalah..biasalah tu. Kita akan bincang,"

Gerakan tidak buat kerja

UTUSAN:
Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak. Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN
Soalnya dia (Gerakan) tak ada program, selepas kalah pilihan raya dulu tak ada buat apa-apa, itu yang Ketua UMNO Pulau Pinang rasakan kalau Gerakan tak buat kerja, biar UMNO buat kerja
Koh Tsu Koon kata Gerakan memegang jawatan itu lebih 35 tahun tetapi apa telah terjadi selepas itu adalah mereka hilang semua kerusi, justeru, beri peluang kepada UMNO pula
KUALA LANGAT 20 Dis – UMNO Pulau Pinang menuntut jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu memandangkan Gerakan tidak mengadakan program menarik semula sokongan rakyat selepas kalah pada pilihan raya umum lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuntutan itu telah lama dibuat tetapi baru diumumkan semalam setelah pihaknya mendapati Gerakan masih tidak melakukan apa-apa program sepatutnya.
Menurut beliau, sekiranya Gerakan meneruskan program yang baik untuk BN di Pulau Pinang, beliau berpendapat UMNO sendiri boleh membantu.
“Soalnya dia tak ada program, selepas kalah pilihan raya dulu tak ada buat apa-apa, itu yang Ketua UMNO Pulau Pinang rasakan kalau Gerakan tak buat kerja, biar UMNO buat kerja.
“Jadi soal Tsu Koon (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) mahu lepas atau kekalkan jawatan, itu soal dia. Kita hanya minta, pelantikan Pengerusi BN negeri kuasa mutlak Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita selepas melawat limbungan NGV Tech di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tsu Koon yang menolak permintaan pemimpin UMNO negeri supaya jawatan Pengerusi BN yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada UMNO.
Tsu Koon yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang memberi alasan jawatan itu disandang oleh pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan kerana apa juga perubahan tidak akan dipersetujui Gerakan.
Mengulas isu sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, tuntutan itu bukan bertujuan merampas kuasa tetapi hanya mahu memastikan Pulau Pinang ditadbir secara politik dengan baik dan rakyat menerima semula BN sebagai pemerintah.
“Kami mahu bantu BN ambil alih semula Pulau Pinang dari pakatan pembangkang, itu sahaja. Kami tak main politik dalam perkara ini, kalau Gerakan bagus kenapa tidak ada kerusi menang di Pulau Pinang.
“Jadi jangan terasa hati dalam perkara ini seolah-olah ia pengambil alihan kuasa,” katanya.Beliau menafikan bahawa tindakan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu menampakkan perpecahan dalam BN kerana ia hanya suatu permintaan untuk kebaikan semua pihak.
“Kita minta sahaja, kenapa pula pecah? Isu ini sudah dikemukakan kepada Pengerusi BN, kalau beliau rasa itu sesuatu yang boleh kuatkan BN saya fikir beliau akan lakukan,” jelasnya.
Semalam, mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memutuskan menuntut jawatan Pengerusi BN negeri diserahkan kepada parti itu.
Ahmad Zahid berkata, ia sejajar usaha memantapkan kedudukan BN Pulau Pinang dan bukannya mempunyai agenda tertentu.

Monday, November 30, 2009

IsuDAP: Pemuda BN Ketuai Bantahan Rakyat, Selar Putar Belit Kerajaan Pulau Pinang


Pulau Pinang -- Bosan dengan sikap kerajaan negeri terutama Ketua Menteri, Lim Guan Eng hampir 500 Pemuda Barisan Nasional (BN) bersama masyarakat pelbagai kaum di negeri itu hari ini berkumpul di depan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mengadakan bantahan.

Tindakan itu dilakukan berikutan kegagalan kerajaan negeri membela nasib rakyat serta pelbagai pembohongan yang dilakukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepanjang hampir dua tahun menerajui negeri itu.

Pengerusi Pemuda BN Pulau Pinang, Norman Zahalan berkata tindakan tersebut yang disertai kesemua komponen BN termasuk penduduk pelbagai kaum di negeri itu dilakukan sebagai membantah pembohongan demi pembohongan dan sikap dolak dalih pentadbiran kerajaan negeri terhadap rakyat di negeri itu.

"Rakyat pilih mereka dengan harapan mereka membela nasib rakyat seperti mana yang mereka laungkan semasa pilihanraya umum lalu.

"Malangnya setelah hampir dua tahun memerintah mereka hanya bermain politik dan mengabaikan rakyat. Malah Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga banyak melakukan pembohongan", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi apa yang dilakukan hari ini sebagai membawa luahan suara rakyat pelbagai kaum yang ternyata tidak berpuas hati terhadap apa yang telah dilakukan kerajaan negeri terutama kes Kampung Buah Pala, pembohongan status tanah dan sikap tidak telus pentadbiran negeri.

Beliau yang mengetuai bantahan tersebut selepas itu turut membuat satu laporan polis dan aduan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindak tanduk kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

"Kita yakin gelombang kemarahan rakyat ini akan menjadi lebih besar selepas ini kerana rakyat semakin sedar mereka telah ditipu dengan pelbagai janji manis parti pembangkang sebelum ini yang kononnya berjiwa rakyat", ujarnya.

Bantah Guan Eng tidak cekap selesaikan masalah penduduk

kosmo
GEORGE TOWN – Walaupun hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam berjalan lancar tetapi berlaku kekecohan di pekarangan bangunan DUN Pulau Pinang.
Kira-kira 150 penyokong Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan berhimpun secara aman bersama beberapa sepanduk yang mengecam corak pentadbiran ‘lemah’ kerajaan negeri itu.
Laungan ‘kerajaan Pulau Pinang penipu’, ‘cakap tak serupa bikin’ dan ‘Guan Eng balik Melaka’ turut kedengaran sehingga menyebabkan lalu lintas sesak hampir setengah jam.
Bantahan secara aman selama sejam yang bermula pada pukul 12.15 tengah hari itu turut disertai Ketua Pemuda MIC negeri, J. Dhinagaran dan Ketua Pemuda Gerakan negeri, Ong Toh Keong.
Mereka membantah kegagalan kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng yang didakwa tidak cekap dan gagal bertindak bijak menyelesaikan masalah rakyat serta tidak menunaikan janji pilihan raya umum 2008 lalu.
Pada masa yang sama, sekumpulan penduduk Kampung Buah Pala yang hadir diketuai pengerusi penduduknya, M. Sugumaran menyerahkan memorandum kepada Guan Eng yang diterima petugas bangunan DUN Pulau Pinang.

Monday, November 16, 2009

TKM 1 Mansor Othman tidak berani jawab isu tanah Lot 408


GEORGETOWN - Meskipun didesak oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) agar menyampaikan fakta sebenar berhubung isu status sebidang tanah milik kerajaan di Lot 408, Georgetown yang dikatakan sudah diserahkan kepada pihak tertentu pada Jun lalu, Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk terus berdiam diri daripada menjawab segala dakwaan yang dikemukakan.
Terbaru, Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman ketika dihubungi Sinar Harian, turut enggan memberikan sebarang komen dan mengulas lanjut mengenai isu itu, sebaliknya menyatakan alasan tidak mengetahui butiran sebenar mengenai perkara itu secara lebih mendalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut meminta pihak media agar menunggu kepulangan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari lawatan kerja ke luar negara baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan terus beliau berhubung isu ini. “Saya tidak mahu komen apa-apa berhubung isu ini sebab saya tidak ada butiran konkrit mengenainya. “Kita tunggulah kepulangan Ketua Menteri (Guan Eng) untuk mendapatkan penjelasan sebenar,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.
Sebelum ini, beberapa media tempatan melaporkan Ketua Menteri digesa memberi penjelasan berhubung status pemilikan tanah Lot 408 bersebelahan Hotel Eastern & Oriental di Georgetown yang didakwa telah ditukar oleh Kerajaan Negeri. Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, sebagai orang nombor satu di Pulau Pinang, Guan Eng perlu tampil bercakap benar dan jujur selaras dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang kerap dilaungkan.
Menurutnya, semua wakil rakyat UMNO dan parti komponen BN negeri ingin mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.Sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada 1 November lalu melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad mendakwa Guan Eng menipu apabila menyatakan tiada pertukaran syarat guna tanah berlaku antara April tahun lalu hingga Jun tahun ini.
Bagaimanapun, difahamkan, pentadbiran beliau telah meluluskan permohonan PDC Heritage Hotel Sdn Bhd untuk menukar jenis pegangan tanah di Lot 408, Georgetown daripada pegangan pajakan kepada pegangan kekal pada 3 Jun lalu.
Akhbar itu pada Khamis lalu juga melaporkan syarikat tersebut dengan kerjasama YTL Corporation Bhd akan membina kondominium mewah dan restoran makanan laut di atas tanah tersebut.