Sunday, May 31, 2009

Dari Penanti - Peratusan pengundi keluar rendah

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 3 petang ialah 42.2 peratus atau 6,492 orang, demikian menurut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).SPR mensasarkan sebanyak 70 peratus daripada 15,385 pemilih akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil hari ini.
Memang sudah dijangka peratusan keluar mengundi rendah kerana BN tidak menyertai pilihanraya ini . Tinjauan saya pagi ini di Sek Keb Guar Perahu, Kg Tok sardon, Sek Men Penanti tidak memberangsangkan dan tidak meriah seperti pilihanraya kecil Permatang Pauh dahulu.
Kawasan peti undi yang kecil bilangan pengundi peratusan keluar mengundi sangat rendah, malah boleh dikatakan lengang.

Saluran 1,2 dan 3 yang kebanyakannya pengundi 40 tahun ke atas amat kurang sekali keluar mengundi.

Menurut sumber, Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan sembilan buah pusat mengundi dengan 32 saluran. Pusat-pusat mengundi itu ialah SMK Guar Perahu (empat saluran), SK Guar Perahu (lima), Dewan Orang Ramai Kampung Tun Sardon, Ara Kuda (satu), SK Mengkuang (empat), SJK (C) Perkampungan Sungai Lembu (satu), SMK Mengkuang (tiga). SMK Penanti (tiga saluran), SK Tanah Liat (lapan) dan SRJK(C) Jit Sin (A) Jalan Berapit mempunyai tiga saluran.

Di Taman Guar Perahu, hari ini seperti hari cuti biasa, seperti tiada pun pilihanraya . Ramai pengundi di sini membuat keputusan tidak keluar mengundi walaupun semalam ceramah Grand Final oleh Anwar dan konco-konconya diadakan semalam di padang taman guar perahu seperti pesta yang dihadiri ribuan penyokong mereka.

Ribuan yang hadir itu mungkin bukan pengundi Penanti dan hanya orang luar sahaja yang datang untuk mendengar. Kehadiran orang ramai ke siri ceramah PKR sebenarnya belum mampu untuk diterjemahkan oleh pengundi untuk keluar mengundi pada hari ini.

Saya juga melihat kelibat Saifudin Nasution pagi tadi di SK Guar Perahu yang mungkin datang untuk melihat peratusan keluar pengundi di situ. Mungkin dia sedang memikirkan strategi mereka untuk menarik keluar seberapa banyak pengundi keluar hari ini mengikut target mereka telah gagal dan tidak mencapai sasaran.

Kita tunggu keputusan malam yang pasti ditunggu juga oleh penganalisis politik dan juga BN. BN mungkin akan lihat reaksi rakyat apabila mereka membuat keputusan untuk tidak bertanding untuk pilihanraya yang tidak sepatutnya diadakan ini.

Friday, May 29, 2009

Bahaya sentimen Chin Peng, propaganda halus komunisme — Utusan Malaysia

MAY 27 — Kenapa Pengerusi Parti Gerakan, Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang? Apa kaitan musuh Negara itu dengan gagasan Satu Malaysia?

Kita berasa pelik dengan tindakan beberapa pemimpin bukan Melayu dan penulis blog yang “bersemangat” memperjuangkan Chin Peng @ Ong Boon Hua sejak kebelakangan ini.

Adakah mereka berkongsi ideologi yang sama? Ini yang sedang difikirkan oleh banyak pihak yang pastinya tidak dapat melupakan kekejaman Bintang Tiga pada zaman dua fasa darurat dahulu — dari 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1984.

Dari semasa ke semasa bagaikan ada satu gerakan untuk terus mencanangkan nama Chin Peng daripada dilupakan oleh rakyat.

Daripada usaha menjadikan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sebagai pejuang kemerdekaan hinggalah kepada tuntutan untuk membenarkan beliau pulang ke kampungnya di Sitiawan, Perak.

Kerajaan Persekutuan beberapa tahun lalu membuat keputusan tidak membenarkan Chin Peng kembali. Malah Mahkamah Rayuan tahun lalu juga menolak permohonan bekas Setiausaha Agung PKM itu.

Tetapi, nampaknya usaha membawa masuk pemimpin itu digerakkan dari dalam negara pula melalui media cetak dan blog dengan membuat penilaian dan peranan baru terhadap Chin Peng.
Jadi adalah tepat apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan perbuatan pihak tertentu itu sebagai durjana jika cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia.

Secara mudah, cuba kita bayangkan keadaan dan suasana negara kita hari ini jika PKM berjaya menggulingkan kerajaan pilihan rakyat melalui perjuangan kejamnya.
Komunis ialah musuh kita dan kita berjaya mencapai kestabilan politik dan ekonomi seperti hari ini kerana mengalahkan mereka. Janganlah diungkit-ungkitkan lagi tentang Chin Peng. Apa ruginya kalau kita tidak memberi pujian dan bernolstagia dengan komunisme?

Pihak-pihak yang “memuja” parti politik haram itu patut sedar bahawa Chin Peng bukanlah pejuang kemerdekaan negara ini. Sebaliknya dia seorang penderhaka yang mengetuai sebuah pergerakan yang membunuh ramai orang tidak berdosa.
Chin Peng dan PKM sebenarnya masih berdegil untuk membubarkan pergerakan komunis walaupun mereka telah menandatangani Perjanjian Damai dengan Kerajaan Malaysia di Hatyai pada 1989.

Dalam perjanjian itu mereka cuma setuju untuk memberhentikan perjuangan bersenjata, maknanya ia boleh diteruskan kemudian. Perjuangan PKM sebenarnya adalah perjuangan kejam, tanpa perikemanusiaan dan penuh tragedi berdarah.

Ingatlah kepada para balu, anak-anak dan ibu bapa para anggota keselamatan yang terkorban demi mempertahankan semua rakyat negara tercinta ini.
Ingatlah kepada anggota keselamatan yang cacat anggota tubuh badan akibat perbuatan ganas PKM. Memberi pengiktirafan kepada perjuangan PKM dalam apa bentuk sekalipun adalah satu pengkhianatan terhadap jasa bakti semua pahlawan negara.

Oleh itu tidak perlu pun kita cuba menghidupkan nostalgia Chin Peng.
Kita mengharapkan Kabinet dapat membuat keputusan bagi menamatkan cerita tentang musuh negara itu. Yang penting sesuatu perlu dilakukan bagi menghalang sentimen Chin Peng dan propaganda halus ideologi komunis daripada meresap ke dalam fikiran anak-anak muda.

Thursday, May 28, 2009

Pembangkang mahu pengganas komunis pulang

Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.


Perdana Menteri berkata, kepulangannya jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara 1948 hingga 1960.


''Kerajaan tidak benarkan Chin Peng balik ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu," Syabas DS Najib yang teruskan melaksanakan slogan Rakyat Didahulukan dan ia bukan cakap kosong .


Ramai pihak termasuk NGO-NGO ,persatuan pelajar dan seluruh rakyat marah kepada komunis kerana kekejaman mereka membunuh dan meyeksa rakyat ketika itu . Mungkin ramai generasi muda hari ini tidak merasa keperitan berada pada zaman komunis tetapi golongan orang lama ,veteran dahulu telah telah mengalami zaman itu. Ramai perajurit-perajurti dan wira-wira tanahair terkorban dan cedera ketika menentang pengganas komunis .


Dalam masa rakyat dengan gah menentang usaha membawa pengganas no 1 chin peng balik ke Malaysia ,pihak pembangkang pulak meminta kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang pernah mengganas sehingga menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban kembali ke negara ini.klik di sini Hakikatnya,pihak pembangkang perlu tahu terlalu banyak air mata dan darah yang diberikan untuk bumi bertuah ini terutamanya dalam menangani pemberontakan bersenjata PKM oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Walaupun PKM telah dibubarkan dan pemberontakan bersenjata mereka telah tamat, ini tidak bermakna segala dosa keganasan bekas ahlinya seperti Chin Peng secara automatiknya terampun atau dapat dimaafkan begitu sahaja. Semua dosa PKM masih jelas dalam lipatan sejarah negara ini dan ingatan rakyat.

Kerana itu, Chin Peng tidak harus dibenarkan pulang semula ke Malaysia untuk selama-lamanya.Jika dia dibenarkan berbuat demikian, ini merupakan satu penghinaan kepada wira-wira negara yang telah menggadaikan nyawa mereka dalam mematahkan pemberontakan bersenjata PKM ini.


Malaysia TanahAirku ...

Wednesday, May 20, 2009

Pemuda UMNO negeri tidak bantah

utusan:



BUTTERWORTH 20 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang menghormati keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, 31 Mei ini.

Ketuanya, Norman Zahalan berkata, keputusan tersebut tepat sekali gus membuktikan pendirian BN yang lebih mementingkan pembangunan ekonomi rakyat daripada menyertai permainan politik ciptaan pembangkang.

"Keputusan telah pun dibuat dan Pemuda Pulau Pinang tiada bantahan sebaliknya program untuk kesejahteraan rakyat akan diteruskan seperti biasa.

"Sekarang adalah masa untuk pemimpin termasuk BN sama ada di peringkat cawangan atau bahagian meneruskan khidmat mereka kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun keputusan BN itu mengundang reaksi berbeza daripada para pengundi di Parlimen Permatang Pauh, ia tidak sedikitpun mencalarkan imej BN.

Menurutnya, terserah kepada para pengundi di kawasan itu untuk memilih wakil rakyat pada hari pembuangan undi tetapi yang pasti sudah tentu mereka yang mampu membela nasib rakyat.

Norman berkata, Pemuda UMNO negeri akan bekerja seperti biasa, berbakti dan membawa perubahan rohani dan jasmani kepada penduduk dalam kawasan itu.

Tuesday, May 19, 2009

Tiada calon di Penanti

UTUSAN



KUALA LUMPUR 18 Mei – Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini kerana ‘ia hanyalah satu permainan politik pembangkang’.

Keputusan itu dicapai sebulat suara pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung kira-kira dua jam di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta sebahagian besar ketua parti-parti komponen BN.

Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu menegaskan, keputusan tersebut diambil kerana pilihan raya berkenaan hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukan disebabkan keperluan mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Kekosongan ini disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) nak selesaikan masalah dalaman mereka. Ia satu permainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan peruntukan Perlembagaan.

“Oleh kerana BN lebih utamakan khidmat kepada rakyat dan usaha-usaha memulihkan ekonomi negara, maka kita memutuskan tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil DUN Penanti,’’ katanya.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai ADUN pada 16 April lalu atas alasan mahu menyambung pelajaran.

Namun pada masa sama ramai pemerhati politik melihat tindakan itu diambil kerana wujudnya pelbagai bentuk desakan dalaman daripada PKR termasuk laporan salah laku ke atas Fairus.

PKR telah mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman, 56, sebagai calon parti itu. Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, turut menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket Bebas.

Selain Penanti, kerusi Parlimen Permatang Pauh dan DUN Bukit Selambau, Kedah sebelum ini turut ‘dikosongkan’ secara sengaja.

Di Permatang Pauh, penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan beliau.

Di Bukit Selambau pula, penyandangnya, V. Arumugam dari PKR meletakkan jawatan berikutan masalah peribadi yang dihadapinya.

Dalam pada itu, Najib berkata, keputusan BN untuk tidak meletakkan calon menunjukkan mesej jelas bahawa parti tersebut tidak akan menari mengikut rentak pihak lain.

Mengenai soal persepsi di sebalik keputusan itu, Najib berkata: “Itu terpulanglah tetapi hakikat sebenarnya kita tak mahu terjerumus dalam permainan politik parti pembangkang.

“Sebab kalau kita ini (terjerumus permainan politik pembangkang), lepas dua tiga bulan dia akan minta kawasan lain pula dikosongkan.’’

Najib pada masa sama percaya penyokong UMNO dan BN khususnya di Penanti akan dapat memahami keputusan itu kerana kepentingan parti secara keseluruhannya adalah lebih besar.

Lagi pun, kata beliau, UMNO dan BN akan tetap terus berkhidmat kepada para pengundi di kawasan DUN Penanti dan Parlimen Permatang Pauh.

“Saya percaya mereka tidak (akan kecewa) kerana ini bukan satu pilihan raya kecil yang perlu dilakukan mengikut Perlembagaan,’’ jelasnya.

Ditanya sama ada keputusan untuk tidak meletakkan calon kerana didorong rasa takut akan kekalahan seperti dialami BN pada pilihan raya kecil sebelum ini, Najib berkata, ia bukan sebabnya.

“Tak ada. Bukan sebabnya. Tak timbul kerana macam mana pun kita akan hadapi rakyat masa pilihan raya umum nanti. Sampai masanya kita akan berdepan dengan rakyat seperti biasa.’’ katanya.

Menurut Najib, tindakan untuk tidak meletakkan calon juga bukan pertama kali dilakukan BN sebaliknya pernah sekali dilakukan lama dahulu.

Pada tahun 1975, BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Menglembu selepas Ahli Parlimennya, Fan Yew Teng dari DAP disabit dengan kesalahan berkaitan Akta Hasutan.

Mengenai tindakan susulan UMNO dan BN selepas ini sama ada mahu menyeru penyokongnya di DUN Penanti memulaukan pilihan raya kecil 31 Mei ini, Perdana Menteri berkata: “Tak ada apa-apa lah. Kita tak letak calon.’’

Monday, May 18, 2009

BN ada dua pilihan

PERMATANG PAUH - UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai dua pilihan untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Penanti. Jika tidak bertanding, ia akan memastikan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) kalah dalam pilihan raya itu yang akan berlangsung pada 31 Mei ini. Sebaliknya, jika Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk bertanding dan meletakkan calon di Penanti, BN sudah bersedia dan akan menggerakkan jentera pilihan rayanya dengan segera.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mempunyai pelbagai cara untuk memastikan kekalahan calon PKR dan ia tidak akan dihebahkan kepada umum atau media. “Sampai masanya, kita akan gerakkan strategi itu agar matlamatnya tercapai sejajar dengan proses demokrasi di negara ini,” katanya selepas melawat masyarakat Siam di Kampung Teluk Wang di sini, semalam.
Beliau turut menyampaikan geran pemasangan bekalan air paip dan bantuan kebajikan kepada penduduk kurang berkemampuan. Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid. Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, jika BN bertanding dalam pilihan raya kecil itu, UMNO hanya akan menggunakan khidmat semua bahagian UMNO yang terdapat di negeri ini kerana mereka lebih hampir dengan masyarakat tempatan selain bantuan dari rakan parti komponen.
“Kita tidak akan menggunakan UMNO dari negeri lain kerana mereka tidak dapat menyelami perasaan dan masalah masyarakat setempat. “Pengalaman kita dalam pilihan raya sebelum ini mendapati UMNO dari negeri lain tidak banyak membantu dalam melicinkan jentera pilihan raya termasuk keberkesanan peranan keluarga angkat di setiap cawangan,” katanya. Bagaimanapun, khidmat beberapa tokoh atau pemimpin dari negeri tertentu akan digunakan dalam pilihan raya iaitu hanya untuk mengadakan ceramah atau kempen yang diadakan.
Menurutnya, pengundi tempatan lebih rasa serasi dengan orang atau tokoh tempatan berbanding pemimpin negeri lain. Zahid berkata, UMNO sudah mempunyai calon untuk diketengahkan dalam pilihan raya itu, yang merupakan anak tempatan yang lebih muda, dapat diterima masyarakat tempatan serta dari kalangan golongan profesional. “Kalau BN bertanding, kita akan umum namanya nanti. Kita hanya tunggu keputusan mesyuarat Dewan tertinggi BN sebelum mengumumkannya,” katanya.

Hentikan sikap kepentingan sendiri


BUKIT MERTAJAM 15 Mei - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas para pemimpin pakatan pembangkang yang sentiasa mengamalkan sikap dwi-standard dan mentafsirkan demokrasi semata-mata untuk memihak kepada kepentingan politik mereka.
Beliau turut menyelar pemimpin pembangkang yang memperlekehkan sistem demokrasi dengan memandang demokrasi seperti hotel iaitu mudah mendaftar masuk dan keluar pada bila-bila masa.
"Saya minta pembangkang hentikan sikap dwi-standard ini. Apa yang mereka lakukan, dibolehkan. Misalnya calon Bebas sokong BN (Barisan Nasional) itu salah, jika ahli mereka lompat parti masuk BN, itu haram tetapi jika melompat kepada mereka, itu tidak salah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di sini hari ini.
Sehubungan itu, Khairy meminta pemimpin pakatan pembangkang supaya menghentikan politiking yang keterlaluan.
Katanya, pembangkang harus menamatkan politiking yang mengheret sama rakyat ke dalam masalah dalaman mereka.
Menurut beliau, ini termasuk dalam mencari calon untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang dikosongkan oleh penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin sebelum ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu, rakyat sudah bosan dengan politiking pembangkang.
"Sikap itu mencabuli demokrasi, tidak sepatutnya diadakan pilihan raya kecil (DUN Penanti) kecuali atas sebab wakil rakyat berkenaan meninggal dunia, muflis atau menghadapi tindakan undang-undang," katanya.