PERMATANG PAUH - UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai dua pilihan untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Penanti. Jika tidak bertanding, ia akan memastikan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) kalah dalam pilihan raya itu yang akan berlangsung pada 31 Mei ini. Sebaliknya, jika Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk bertanding dan meletakkan calon di Penanti, BN sudah bersedia dan akan menggerakkan jentera pilihan rayanya dengan segera.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mempunyai pelbagai cara untuk memastikan kekalahan calon PKR dan ia tidak akan dihebahkan kepada umum atau media. “Sampai masanya, kita akan gerakkan strategi itu agar matlamatnya tercapai sejajar dengan proses demokrasi di negara ini,” katanya selepas melawat masyarakat Siam di Kampung Teluk Wang di sini, semalam.
Beliau turut menyampaikan geran pemasangan bekalan air paip dan bantuan kebajikan kepada penduduk kurang berkemampuan. Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid. Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, jika BN bertanding dalam pilihan raya kecil itu, UMNO hanya akan menggunakan khidmat semua bahagian UMNO yang terdapat di negeri ini kerana mereka lebih hampir dengan masyarakat tempatan selain bantuan dari rakan parti komponen.
“Kita tidak akan menggunakan UMNO dari negeri lain kerana mereka tidak dapat menyelami perasaan dan masalah masyarakat setempat. “Pengalaman kita dalam pilihan raya sebelum ini mendapati UMNO dari negeri lain tidak banyak membantu dalam melicinkan jentera pilihan raya termasuk keberkesanan peranan keluarga angkat di setiap cawangan,” katanya. Bagaimanapun, khidmat beberapa tokoh atau pemimpin dari negeri tertentu akan digunakan dalam pilihan raya iaitu hanya untuk mengadakan ceramah atau kempen yang diadakan.
Menurutnya, pengundi tempatan lebih rasa serasi dengan orang atau tokoh tempatan berbanding pemimpin negeri lain. Zahid berkata, UMNO sudah mempunyai calon untuk diketengahkan dalam pilihan raya itu, yang merupakan anak tempatan yang lebih muda, dapat diterima masyarakat tempatan serta dari kalangan golongan profesional. “Kalau BN bertanding, kita akan umum namanya nanti. Kita hanya tunggu keputusan mesyuarat Dewan tertinggi BN sebelum mengumumkannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment