HARI ini semua rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan negara kita yang ke-52. Tetapi suasana sambutan di seluruh negara tidak seperti biasa kerana ulang tahun kemerdekaan jatuh pada bulan puasa Ramadan. Sambutan di peringkat Pusat, dibuat sederhana di Dataran Parlimen.
Usia 52 tahun amat besar maknanya. Pelbagai peristiwa dan pengalaman pahit manis telah kita sama-sama harungi.
Apabila menonton iklan hari kemerdekaan di televisyen, ia membawa kenangan manis dan menyentuh jiwa semua lapisan masyarakat kita yang berbilang kaum.
Dalam suasana hubungan kaum yang kini diasak dengan tindakan provokasi dan tuduhan melampau demi kepentingan kaum masing-masing, elok kita sama-sama renung dan fikirkan apa akan kita lakukan selepas ini. Adakah semua kaum di negara ini mahu bercakaran dan musnahkan perpaduan yang telah dijalin sejak lebih 52 tahun itu?
Ada kebenaran dalam perutusan Hari Kemerdekaan Perdana Menteri bahawa membaik pulih jambatan sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah yang wujud di antara rakyat pelbagai kaum adalah cabaran terbesar negara.
Jika kita buka minda dan fikirkan, kekeruhan hubungan antara kaum sebelum Mac 2008 tidaklah seburuk seperti sekarang. Semua kaum berbaik sangka dan tidak timbul tuduh-menuduh dan mencabar Perlembagaan negara. Hakikatnya perpaduan kaum yang diasaskan oleh pejuang-pejuang terdahulu kini diasak dan cuba digoncang pihak tertentu kerana mahu rebut kuasa.
Perpaduan kaum adalah tunjang kekuatan dan kemakmuran Malaysia. Jika tunjang ini ditetak-tetak selalu, akhirnya ia akan musnah.
Begitu juga dengan perpaduan kaum, jika tidak dipelihara, kesan kemusnahannya sukar untuk dipulihkan seperti dahulu.
Sebab itu berulang-ulang kali pemimpin negara mengingatkan kita supaya pertahankan perpaduan kaum. Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengingat tentang sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.
Pada hakikatnya, kejayaan dan kemakmuran negara ini sepanjang 52 tahun merdeka adalah hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua lapisan masyarakat.
Kita jangan lupa tentang keunikan yang kita miliki ini. Negara yang lebih dahulu merdeka daripada kita pun tidak mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati sekarang. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap anasir-anasir yang sengaja dan berusaha untuk memecah-belahkan perpaduan masyarakat majmuk negara ini.
Kerana mereka tahu, formula perpaduan kaum inilah menjadi rahsia kekuatan dan kejayaan Malaysia. Mahu tidak mahu, hakikatnya baik Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta orang Cina, India dan kaum-kaum lain - inilah tanah air kita.
Adalah tanggungjawab kita semua untuk menentukan kemakmuran dan kestabilan Malaysia. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru lima bulan memimpin negara ini, elok kita beri sokongan dan dokongan kepada Najib dalam pelaksanaan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.