Tuesday, December 22, 2009

Pemuda BN Sepakat Hentikan Perdebatan Isu Pengerusi BN Pulau Pinang

Pulau Pinang -- Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sebulat suara membuat keputusan untuk menghentikan perdebatan berkenaan isu jawatan Pengerusi BN negeri.
Bendahari Pemuda UMNO negeri, Aziaan Ariffin berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara komponen Pemuda BN di sini, Selasa.
Jelasnya isu isu jawatan Pengerusi BN negeri yang hangat diperdebatkan di antara pemimpin parti komponen perlu dihentikan serta merta.
"Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas perbincangan hampir dua jam di antara pemimpin pemuda BN.
"Perjumpaan itu dibuat bagi mencari satu jalan penyelesaian berhubung beberapa perkara berbangkit yang berlaku dalam BN negeri.
"Kami setuju dengan nasihat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya isu Pengerusi BN dihentikan kerana pertelingkahan terbuka tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada negara dan rakyat", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Pertemuan Pemuda BN itu disertai Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong, Ketua Pemuda PPP negeri M Manikumar dan Ketua Pemuda MIC negeri, J.Dhinagaran.
Aziaan yang juga Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau seterusnya berkata selepas ini apa jua yang berlaku atau sebarang masalah berbangkit yang timbul antara parti komponen BN negeri akan dibincangkan serta diselesaikan secara dalaman.
"Kami sebulat suara bersetuju untuk tidak lagi berdebat mengenai isu Pengerusi BN negeri serta isu-isu lain secara terbuka," ujarnya.

Monday, December 21, 2009

Elak debat isu Pengerusi BN P. Pinang

utusan:


PUTRAJAYA 21 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sebarang perdebatan mengenai siapa yang layak menerajui Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dihentikan.
Perdana Menteri menegaskan, isu itu seharusnya tidak berlanjutan.
"Jangan debat lagi tentang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia Keenam di sini hari ini.
Jumaat lalu, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang meminta jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan berkenaan dengan alasan jawatan itu disandang oleh pemimpin Gerakan selama 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Tuntutan UMNO Pulau Pinang akan dirunding dengan semua pihak - Najib

SHAH ALAM 20 Dis. - Permintaan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu, akan dirundingkan dengan semua pihak.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN.
''Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak.
''Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen BN lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Cadangan itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
Ditanya mengenai reaksi Tsu Koon itu, Najib berkata ringkas:''Tak apalah..biasalah tu. Kita akan bincang,"

Gerakan tidak buat kerja

UTUSAN:
Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak. Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN
Soalnya dia (Gerakan) tak ada program, selepas kalah pilihan raya dulu tak ada buat apa-apa, itu yang Ketua UMNO Pulau Pinang rasakan kalau Gerakan tak buat kerja, biar UMNO buat kerja
Koh Tsu Koon kata Gerakan memegang jawatan itu lebih 35 tahun tetapi apa telah terjadi selepas itu adalah mereka hilang semua kerusi, justeru, beri peluang kepada UMNO pula
KUALA LANGAT 20 Dis – UMNO Pulau Pinang menuntut jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu memandangkan Gerakan tidak mengadakan program menarik semula sokongan rakyat selepas kalah pada pilihan raya umum lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuntutan itu telah lama dibuat tetapi baru diumumkan semalam setelah pihaknya mendapati Gerakan masih tidak melakukan apa-apa program sepatutnya.
Menurut beliau, sekiranya Gerakan meneruskan program yang baik untuk BN di Pulau Pinang, beliau berpendapat UMNO sendiri boleh membantu.
“Soalnya dia tak ada program, selepas kalah pilihan raya dulu tak ada buat apa-apa, itu yang Ketua UMNO Pulau Pinang rasakan kalau Gerakan tak buat kerja, biar UMNO buat kerja.
“Jadi soal Tsu Koon (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) mahu lepas atau kekalkan jawatan, itu soal dia. Kita hanya minta, pelantikan Pengerusi BN negeri kuasa mutlak Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita selepas melawat limbungan NGV Tech di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tsu Koon yang menolak permintaan pemimpin UMNO negeri supaya jawatan Pengerusi BN yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada UMNO.
Tsu Koon yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang memberi alasan jawatan itu disandang oleh pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan kerana apa juga perubahan tidak akan dipersetujui Gerakan.
Mengulas isu sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, tuntutan itu bukan bertujuan merampas kuasa tetapi hanya mahu memastikan Pulau Pinang ditadbir secara politik dengan baik dan rakyat menerima semula BN sebagai pemerintah.
“Kami mahu bantu BN ambil alih semula Pulau Pinang dari pakatan pembangkang, itu sahaja. Kami tak main politik dalam perkara ini, kalau Gerakan bagus kenapa tidak ada kerusi menang di Pulau Pinang.
“Jadi jangan terasa hati dalam perkara ini seolah-olah ia pengambil alihan kuasa,” katanya.Beliau menafikan bahawa tindakan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu menampakkan perpecahan dalam BN kerana ia hanya suatu permintaan untuk kebaikan semua pihak.
“Kita minta sahaja, kenapa pula pecah? Isu ini sudah dikemukakan kepada Pengerusi BN, kalau beliau rasa itu sesuatu yang boleh kuatkan BN saya fikir beliau akan lakukan,” jelasnya.
Semalam, mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memutuskan menuntut jawatan Pengerusi BN negeri diserahkan kepada parti itu.
Ahmad Zahid berkata, ia sejajar usaha memantapkan kedudukan BN Pulau Pinang dan bukannya mempunyai agenda tertentu.