Friday, May 29, 2009

Bahaya sentimen Chin Peng, propaganda halus komunisme — Utusan Malaysia

MAY 27 — Kenapa Pengerusi Parti Gerakan, Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang? Apa kaitan musuh Negara itu dengan gagasan Satu Malaysia?

Kita berasa pelik dengan tindakan beberapa pemimpin bukan Melayu dan penulis blog yang “bersemangat” memperjuangkan Chin Peng @ Ong Boon Hua sejak kebelakangan ini.

Adakah mereka berkongsi ideologi yang sama? Ini yang sedang difikirkan oleh banyak pihak yang pastinya tidak dapat melupakan kekejaman Bintang Tiga pada zaman dua fasa darurat dahulu — dari 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1984.

Dari semasa ke semasa bagaikan ada satu gerakan untuk terus mencanangkan nama Chin Peng daripada dilupakan oleh rakyat.

Daripada usaha menjadikan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sebagai pejuang kemerdekaan hinggalah kepada tuntutan untuk membenarkan beliau pulang ke kampungnya di Sitiawan, Perak.

Kerajaan Persekutuan beberapa tahun lalu membuat keputusan tidak membenarkan Chin Peng kembali. Malah Mahkamah Rayuan tahun lalu juga menolak permohonan bekas Setiausaha Agung PKM itu.

Tetapi, nampaknya usaha membawa masuk pemimpin itu digerakkan dari dalam negara pula melalui media cetak dan blog dengan membuat penilaian dan peranan baru terhadap Chin Peng.
Jadi adalah tepat apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan perbuatan pihak tertentu itu sebagai durjana jika cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia.

Secara mudah, cuba kita bayangkan keadaan dan suasana negara kita hari ini jika PKM berjaya menggulingkan kerajaan pilihan rakyat melalui perjuangan kejamnya.
Komunis ialah musuh kita dan kita berjaya mencapai kestabilan politik dan ekonomi seperti hari ini kerana mengalahkan mereka. Janganlah diungkit-ungkitkan lagi tentang Chin Peng. Apa ruginya kalau kita tidak memberi pujian dan bernolstagia dengan komunisme?

Pihak-pihak yang “memuja” parti politik haram itu patut sedar bahawa Chin Peng bukanlah pejuang kemerdekaan negara ini. Sebaliknya dia seorang penderhaka yang mengetuai sebuah pergerakan yang membunuh ramai orang tidak berdosa.
Chin Peng dan PKM sebenarnya masih berdegil untuk membubarkan pergerakan komunis walaupun mereka telah menandatangani Perjanjian Damai dengan Kerajaan Malaysia di Hatyai pada 1989.

Dalam perjanjian itu mereka cuma setuju untuk memberhentikan perjuangan bersenjata, maknanya ia boleh diteruskan kemudian. Perjuangan PKM sebenarnya adalah perjuangan kejam, tanpa perikemanusiaan dan penuh tragedi berdarah.

Ingatlah kepada para balu, anak-anak dan ibu bapa para anggota keselamatan yang terkorban demi mempertahankan semua rakyat negara tercinta ini.
Ingatlah kepada anggota keselamatan yang cacat anggota tubuh badan akibat perbuatan ganas PKM. Memberi pengiktirafan kepada perjuangan PKM dalam apa bentuk sekalipun adalah satu pengkhianatan terhadap jasa bakti semua pahlawan negara.

Oleh itu tidak perlu pun kita cuba menghidupkan nostalgia Chin Peng.
Kita mengharapkan Kabinet dapat membuat keputusan bagi menamatkan cerita tentang musuh negara itu. Yang penting sesuatu perlu dilakukan bagi menghalang sentimen Chin Peng dan propaganda halus ideologi komunis daripada meresap ke dalam fikiran anak-anak muda.

No comments:

Post a Comment