KUALA LUMPUR – Setelah setahun menganggur, nasib kira-kira 400 orang daripada 1,000 pekerja syarikat Nikko Electronic Bhd. (Nikko) di Prai, Pulau Pinang yang diberhentikan tanpa notis pada 30 Jun tahun lalu, akhirnya terbela dengan campur tangan Kementerian Sumber Manusia dan Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO.
Pengerusi sekretariat tersebut, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, pihaknya dengan kerjasama Pemuda UMNO Pulau Pinang mengambil langkah proaktif membantu pekerja terbabit dengan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, semalam.
“Kementerian Sumber Manusia bersetuju untuk mengadakan Karnival Pekerjaan pada 11 Julai depan bagi membantu pekerja ini dan orang ramai yang masih menganggur mendapatkan peluang pekerjaan segera.
“Bagi pekerja yang sukar mendapatkan pekerjaan berikutan faktor usia, mereka dicadangkan supaya didaftarkan untuk mendapat latihan serta pekerjaan melalui program ‘Train and Place’,” katanya pada sidang media, semalam.
Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Norman Zahalan dan wakil bekas pekerja Nikko, Mat Zahir Ismail.
Beliau berkata, peserta program itu juga akan menerima elaun sebanyak RM500 hingga RM800 sebulan sepanjang tempoh mereka menjalani latihan yang dibiaya sepenuhnya oleh kementerian itu.
“Hasil kesungguhan kementerian, pihak pengurusan kilang Sony yang terletak berhampiran Nikko juga bersetuju mengambil kesemua pekerja ini bekerja di kilang mereka,” katanya.
Mengulas mengenai tuntutan pampasan pekerja terbabit yang difailkan di mahkamah, beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehinya kes terbabit akan disebut di Mahkamah Tinggi, 3 Julai ini.
Katanya, menurut sumber, akan ada perkembangan positif daripada Nikko dalam masa yang terdekat di mana ianya akan memberikan manfaat kepada bekas pekerja kilang itu.
Dalam pada itu, Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO kesal dan kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak berusaha membantu membela nasib pekerja berkenaan.
Sementara itu, Mat Zahir berkata, mereka semua turut kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana masih tidak mengotakan janji-janji untuk membela nasib mereka setelah setahun menunggu.
“Kami ada berjumpa dengan beberapa Exco Kerajaan Pulau Pinang untuk bertanyakan mengenai nasib kami namun jawapan yang diberikan adalah bantuan kepada kami telah diberikan melalui Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
“Memang kami akui bantuan diberikan namun sehingga kini kami masih belum mendapat sebarang keputusan yang betul-betul memihak kepada kami malah kes juga masih dalam sebutan,”
katanya. Beliau berkata, tempoh setahun adalah tempoh yang amat memeritkan mereka justeru mereka mengadakan demostrasi di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Pulau Pinang kelmarin, bagi mendesak kerajaan negeri itu mengotakan janji-janjinya.
No comments:
Post a Comment