Tuesday, November 10, 2009

Kerajaan Pulau Pinang dibidas

UTUSAN:



PULAU PINANG 10 Nov. - Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan membidas kerajaan negeri kerana merancang pembangunan di sesuatu tempat tanpa berbincang dengan kumpulan terlibat terlebih dahulu.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyatnya perlu turun padang dan mengambil kira pandangan semua pihak, bukan berbuat sebaliknya seperti berlaku kepada penjaja di Kebun Bunga di sini.

Menurut beliau, pihaknya banyak menerima aduan daripada para penjaja di situ yang mendakwa terpaksa menanggung kerugian teruk selepas mereka dipindahkan ke tempat baru sejak dua bulan lalu.

Tambahnya, jika mengikut perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tempat letak kereta disediakan di bahagian hadapan berhampiran pintu masuk utama yang baru.

"Gerai-gerai penjaja yang terlibat pula akan ditempatkan di satu kawasan berdekatan dengan tempat letak kereta sekali gus membolehkan para pelancong mudah ke situ.

"Namun kini, kita difahamkan bahawa ia akan kekalkan tempat letak kereta di tempat lama yang jauh dari tempat penjaja berniaga yang baru sekarang, macam mana nak cari makan.

"Penjaja pula tak diberitahu apa-apa berkenaan perkara ini, jadi cara isu ini ditangani sangat penting kerana ia melibatkan mata pencarian orang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak penjaja Kebun Bunga di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, pasti ada sebab mengapa 16 penjaja di situ membuat aduan mengenai masalah tersebut dan pelbagai jenis perniagaan dijalankan khususnya untuk pelancong tidak mendapat sambutan.

Sementara itu, seorang penjual buah-buahan di tempat itu, Yeoh Chin Hin, 55, berkata, sejak berpindah dua bulan lalu, beliau hanya mendapat keuntungan RM300 sebulan berbanding sebelum ini RM3,000 hingga RM4,000.

"Perniagaan keluarga saya ini telah diusahakan lebih 50 tahun dan sekarang ini kami tak tahu nak cakap macam mana, sejak dua bulan jualan kami pun macam tak jalan.

"Selain itu, di sini apa-apa pun tidak disediakan, tandas tidak berfungsi, lampu ada tetapi meter elektrik tiada dan kotor, apabila kita cakap mereka suruh tanya kontraktor pula, bukan kita yang lantik kontraktor," ujarnya.

Seorang lagi penjaja, V. Subramaniam, 40, berkata, beliau berniaga menjual cenderamata di tempat lama sejak 18 tahun lalu dan kini berdepan dengan masalah kerugian.

Beliau berkata, jika sebelum ini keuntungan bersih sehari boleh mencecah hingga RM65 tetapi keuntungan yang diperoleh sejak tiga hari lalu hanya RM3 sahaja.

No comments:

Post a Comment