Monday, June 15, 2009

Pas-UMNO perlukan 'salam cinta tanpa syarat'

UTUSAN:

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS


KISAH Tun Ali memperisterikan Tun Kudu, isteri Sultan Melaka yang sanggup diceraikan baginda semata-mata untuk membalas budi dan meletakkan Tun Perak sebagai Bendahara adalah kisah pengorbanan demi sebuah keamanan dan perpaduan sebuah negeri bernama Melaka pada kurun ke-15.


Begitulah nilai perpaduan bagi seorang pemimpin. Senario semasa perpaduan yang mahu dicipta oleh dua parti yang hampir 100 peratus orang Melayu dan Islam dilihat umpama petir di tengah hari. Dalam kilau petir ada guruh sabung-menyabung daripada teman parti komponen.


Walau nawaitu Presiden Pas dilihat suci dan murni namun akar umbi merasakan idea tersebut amat tidak sedap didengar.


Bagi pihak UMNO soal perpaduan bukan soal dua parti dan bangsa melayu semata-mata tetapi demi kesinambungan gagasan 1Malaysia aspirasi Perdana Menteri.


Lantas soal perpaduan nasional mesti diberi keutamaan oleh semua pemimpin tidak kira dalam komponen Barisan Nasional mahupun pakatan pembangkang. Pelawaan ke arah perpaduan persis "huluran salam cinta tanpa syarat".


Sebelum perpaduan nasional diikat setiap pemimpin perlu sedar bahawa pasca PRU12 kerajaan BN masih memiliki majoriti di Parlimen dan berkuasa untuk menentukan hala negara yang melalui proses merangsang ekonomi agar tidak terus mengendur bahana ekonomi makro yang tidak menentu.


Setiap pemimpin perlu sedar perpaduan yang gagal dipupuk antara orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat negara ini hanya hanya akan menjadikan krisis bertambah badinya.


Perpaduan rakyat negara ini perlu melupakan sejenak fokus politik yang akan tidak ada titiknya. Hentikan sebentar polemik yang melemaskan rakyat dan menyukarkan dasardasar baru untuk memastikan ekonomi terus mapan dan pelaburan asing masuk.


Isu dan tuntutan oleh parti dalam BN dan gesaan oleh parti-parti dalam pakatan pembangkang terhadap kepimpinan negara perlu diminimakan kerana ibarat pepatah, "yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran".


Pakar ekonomi dalam Pas perlu sedar hanya keamanan dan perpaduan sahaja yang mampu memberi kemakmuran kepada negara. Isu ekonomi adalah isu yang amat memeritkan bagi pihak yang terkesan secara langsung. Bukan sahaja kerajaan bakal dikecam jika gagal memulihkan ekonomi pihak pemimpin yang lain turut terpalit sama kerana gagal membela nasib mereka.


Seharusnya semua parti politik melupakan agenda politik mereka dan melupakan luka lama yang akan berdarah kembali akibat terlalu tegar berpolitik.


Amalan demokrasi menghalalkan sedemikian namun soal perpaduan yang terlerai akan menyebabkan demokrasi menjadi ilusi. Sejarah UMNO dan Pas terlalu panjang dan kedua-dua parti yang memayungi majoriti umat Melayu dan Islam ini seharusnya sudah lama menamatkan perbezaan politik yang semakin menjurus ke persimpangan buat rakyat yang cintakan bangsa dan agamanya.


Perpaduan dua parti ini amat penting kerana parti-parti lain dilihat amat suka mengusik hak-hak istimewa orang Melayu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu masih memerlukan pembelaan pemimpin-pemimpin hebat dalam kedua-dua parti. Namun apa yang dilihat hari ini mereka dilihat berpolitik untuk kemenangan politik semata-mata tanpa mengira sama ada kemenangan itu membawa perubahan kepada bangsa dan agama sendiri atau pihak lain.


Itu yang amat menyedihkan. Agenda perpaduan UMNO dan Pas sebenarnya mengundang persepsi berbeza semua pihak hingga ada yang panas kerusinya dan ibarat cacing kepanasan mula menghalalkan semua perkara.


Namun segalanya dilihat sebagai rencah orang berpolitik, waima tidak kisah jika Chin Peng pulang ke tanah air, asal sahaja pendapat itu berbeza dengan kerajaan dan majoriti umat Melayu dan Islam di negara ini.


Inilah perkara yang perlu difikirkan rakyat. Ke mana hala tuju yang akan dibawa oleh pemimpin yang telah mereka pilih dalam PRU12.


Sesungguhnya Pas dan UMNO perlu bersungguh-sungguh untuk bertemu demi perpaduan nasional. Suara-suara yang memprotes perlu memikirkan semula untuk bertemu empat mata walau perkembangan dua tiga hari ini dilihat sebagai gendang perang kempen N38 ManekUrai.


Kehangatan kempen bakal dibayangi dengan kes ketua pembangkang yang bakal dibicarakan, isu Chin Peng, isu tinjauan pendapat di blog Presiden MCA, krisis dalaman PPP dan paling penting ialah isu ekonomi yang sedang dirangsang.


Idea perpaduan telah dinobatkan oleh UMNO sejak lama dahulu dan Presiden Pas mengutarakan idea yang sama walau rakan dalam pakatan pembangkang tidak senang duduk mendengarnya. Namun "dayung dan perahu sudah di air", terpulang kepada Pas dan UMNO hendak menghilir bersama atau seorang ke hulu seorang ke hilir. Kerana kedua-duanya bakal melalui arus yang sama. "Berebut dayung perahu hanyut."

No comments:

Post a Comment